3 Sebab Harga Emas Turun Naik Secara Agresif | Sejak lebih seminggu lalu, harga emas dan perak bergerak dengan sangat tidak stabil. Turun naiknya luar biasa, malah emas hampir mencatat kenaikan harian terbesar sejak tahun 2008. Pergerakan ini bukan perlahan atau berperingkat, tetapi berlaku dengan cepat dan kerap sehingga kelihatan seperti perkara biasa.

Persoalannya, kenapa harga emas naik dan turun dengan begitu agresif dalam keadaan ekonomi nampak semakin stabil?
Volatiliti Tinggi, Jangkaan Harga Sama
Walaupun harga bergerak secara agresif, jangkaan jangka panjang terhadap emas sebenarnya tidak banyak berubah. JP Morgan, sebagai contoh, masih menjangkakan harga emas boleh mencecah USD6,300 per auns menjelang akhir tahun 2026. Ini menunjukkan turun naik semasa bukan tanda kejatuhan, tetapi sebahagian daripada kenaikan jangka panjang (bull run).
Harga Emas Turun Naik, Tapi Permintaan Tetap Tinggi
Antara berita yang kita dengar beberapa hari lepas:
- India menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Eropah.
- Amerika Syarikat menurunkan tarif barangan India daripada 50% kepada 18%.
- Pasaran saham India meningkat susulan berita ini.
Biasanya, apabila ketidaktentuan berkurang dan ekonomi kelihatan lebih stabil, pelabur akan keluar daripada aset selamat seperti emas. Tetapi kali ini tidak berlaku. Harga emas dan perak terus naik dan kekal tidak menentu.
Ini menjadikan penurunan dan kenaikan kali ini terasa ganjil dan sukar difahami. Berdasarkan kajian penganalisis:
Tiga Sebab Utama Di Sebalik “Ribut” Harga Emas
Kenaikan dan penurunan yang kita saksikan bukan disebabkan satu faktor, tetapi gabungan tiga kuasa besar.
3 Sebab Harga Emas Turun Naik Secara Agresif
1. Perubahan Peraturan Dagangan (CME)
CME Group menaikkan kadar margin untuk kontrak niaga hadapan emas dan perak susulan turun naik ekstrem.
- Margin emas naik daripada ~6% kepada ~8%
- Margin perak naik daripada ~11% kepada ~15%
Akibatnya, pedagang berleveraj tinggi terpaksa kurangkan posisi atau tambah modal. Ini mengurangkan kecairan pasaran dan membesarkan kesan setiap pergerakan harga, walaupun perubahan asas tidak berlaku.
2. Jangkaan Dasar Kewangan AS
Pelantikan Kevin Warsh sebagai calon Pengerusi Federal Reserve AS telah mencetuskan ketidaktentuan.
- Fed menentukan kadar faedah dan kekuatan dolar AS
- Perubahan jangkaan kadar faedah memberi kesan terus kepada harga emas
Emas tidak beri faedah, jadi bila kadar faedah dijangka turun, kos peluang memegang emas menjadi lebih rendah. Pelabur biasanya bertindak awal sebelum kadar benar-benar berubah.
3. Permintaan Fizikal Emas Sangat Tinggi
Menurut World Gold Council:
- Permintaan emas dunia mencecah 5,000 tan pada 2025 (rekod tertinggi)
- Bank pusat membeli 863 tan emas
- Permintaan emas dalam bentuk ETF, jongkong dan syiling juga mencatat paras tertinggi dalam tempoh bertahun-tahun
Apabila permintaan sebenar begitu tinggi, sebarang penurunan harga dianggap peluang beli, bukan sebab untuk jual.
Kesimpulan
Kenaikan harga emas kali ini bukan sekadar sentimen. Ia disokong oleh:
- Peraturan margin yang lebih ketat,
- Jangkaan perubahan wang, dan
- Permintaan fizikal sebenar yang kukuh.
Walaupun pasaran emas nampak bergelora tetapi hakikatnya, nilai emas sebenarnya masih sangat kukuh dan ada permintaan yang sangat tinggi.



