Fatwa Kutipan Zakat – Lembaga Zakat Selangor (LZS) | Saya tertarik dengan perkongsian seorang penyimpan emas mengatakan bahawa kita perlu menggabungkan harta emas, wang simpanan dan pelaburan sebelum membuat pengiraan zakat. Ini mesej beliau:

“Maaf Tuan Muhaimin. Tunggu simpanan emas 85 gram baru bayar zakat tu sekiranya kita tiada simpanan-simpanan lain (TH, ASB, simpanan di bank). Saya dulu pun agak keliru tapi sekarang sudah sedikit memahami melalui maklumat daripada pusat zakat. Kita perlu gabungkan semua simpanan untuk menentukan nisab sama ada kita perlu bayar zakat atau tidak. Kaedah pengiraan begini baru diperkenalkn oleh LZS. Kalau ada yang ingin bertnya, boleh PM saya untuk saya bantu dengan sedikit ilmu yang saya ada.”
Perkongsian beliau adalah berdasarkan fatwa kutipan zakat yang dikemaskini oleh Lembaga Zakat Selangor pada tahun 2017 seperti perincian di bawah:
RINGKASAN PERUBAHAN FATWA KUTIPAN ZAKAT TERKINI 2017
(TAKSIR ZAKAT HARTA INDIVIDU)
Fatwa ini merupakan penambahbaikan bagi Fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat Negeri Selangor 2013. Penambahbaikan ini diluluskan oleh Mesyuarat Fatwa pada 31 Januari 2017 dan akan dilaksanakan kepada orang ramai bermula 22 Sept 2017 / 1 Muharram 1438H.
- Gabungan Harta Yang Sama Jenis
Semua harta yang sama jenis hendaklah digabungkan termasuk harta yang berasaskan kepada nisab emas iaitu:-
- Emas – Emas bukan perhiasan; lebihan uruf bagi emas perhiasan; dan emas yang dipajak (selepas ditolak jumlah hutang dan upah simpan)
- Wang Simpanan termasuk wang yang berada di Takaful
- Saham dan pelaburan di pasaran modal.
- Zakat Pendapatan
- Tambahan satu lagi jenis pendapatan iaitu Hasil Sumber Pemberian / Bukan Pekerjaan
Empat kategori pendapatan yang dikenakan zakat kini iaitu: i. Penggajian; ii. Hasil Kerja Bebas, iii. Hasil Bersih Sewaan; dan iv. Hasil Pemberian (hibah, hadiah, saguhati, pencen pasangan, sedeqah, pampasan, harta pusaka, mahar perkahwinan dan sebagainya.
- Kedudukan Ambilan bagi Peniaga
Bagi peniaga (milikan tunggal) yang membuat ambilan bagi tujuan peribadi dikira sebagai pendapatan yang wajib dizakatkan
- Taksiran Zakat Wang Simpanan
Pengiraan zakat wang simpanan adalah berdasarkan kepada jumlah wang simpanan di akhir/hujung haul selepas ditolak wang yang telah diperolehi pada tahun semasa yang telah dizakatkan. Ia hendaklah dicampur dengan Harta Lain Asas Nisab Emas.
- Zakat Ke Atas Wang Simpanan Di Takaful / Insuran
Ia dikenakan zakat atas jumlah tunai (cash value) yang boleh dikeluarkan.
Apabila matang atau menerima pampasan: Bagi produk takaful, ia dikira atas keseluruhan jumlah dan bagi insuran, jumlah caruman pencarum sahaja diambil kira.
- Pelaburan Emas Tidak Patuh Syariah
Hanya modal asal pelaburan sahaja dikenakan zakat.
- Zakat KWSP
- Bagi pencarum yang berumur di bawah umur persaraan wajib (55 tahun):
Caruman KWSP menjadi item tolakan semasa mengira zakat pendapatan. Semua pengeluaran dikira sebagai pendapatan dan perlu dijumlahkan bersama pendapatan lain. Wang yang masih di dalam KWSP tidak dikenakan zakat.
- Bagi pencarum yang bekerja / masih menyimpan selepas umur persaraan wajib (55 tahun):
Caruman ke KWSP tidak boleh ditolak daripada pengiraan zakat pendapatan. Wang yang masih tersimpan (tidak dikeluarkan) dikira sempurna milik dan perlu dicampurkan dalam pengiraan zakat wang simpanan.
- Tidak perlu pembersihan (cleansing) ke atas semua jumlah di KWSP sebelum wujudnya KWSPi.
- Kedudukan Wang Simpanan Di Tabung Haji
- Caruman Pada Tahun Semasa
Jumlah caruman atau simpanan pada tahun semasa dikira sebagai penentuan kecukupan nisab bagi kiraan zakat pendapatan
- Jumlah Simpanan Sedia Ada di Tabung Haji
Wang simpanan di Tabung Haji perlu dijumlahkan bersama Harta Lain Berasas Emas untuk tujuan kecukupan nisab. Jika jumlah termasuk Tabung Haji telah cukup nisab, maka harta selain di Tabung Haji dikenakan zakat.
- Kesan Zakat Ke Atas Hutang
Hutang yang diyakini dapat diperolehi diwajibkan zakat dan termasuk dalam kategori wang simpanan. Hutang yang boleh dibayar bertangguh dikira sempurna milik dan wajib dizakatkan.
- Pelarasan Elak Dua Kali Zakat
Bagi harta yang telah diperolehi daripada pendapatan semasa yang telah dizakatkan, hendaklah ditolak untuk mengelakkan insiden dizakatkan dua kali pada harta yang sama.
Disediakan oleh: Divisyen Dakwah dan Syariah, Lembaga Zakat Selangor
Sumber: FB Lembaga Zakat Selangor (LZS) via Indahnya Islam