, ,

Hati-Hati! Ini Taktik Baru Scam Pelaburan Emas

Hati-Hati! Ini Taktik Baru Scam Pelaburan Emas | Kisah seorang wanita yang terpaksa menyewa rumah miliknya sendiri dengan bayaran mencecah RM30,000 sebulan ini peringatan bahawa keputusan kewangan yang salah boleh mengubah kehidupan seseorang dalam sekelip mata. Kes seperti ini sering bermula dengan janji manis untuk mendapatkan keuntungan cepat atau pulangan lumayan tanpa risiko.

Taktik Baru Scam Pelaburan Emas

Taktik terbaru ini, mangsa dijanjikan satu pelaburan emas dengan menggunakan geran hartanah sebagai cagaran! Akibat terlalu yakin dan kurang membuat kajian, mangas akhirnya terpaksa berdepan masalah kewangan yang berpanjangan. Kisah ini mengajar kita bahawa tidak kira dalam urusan hartanah mahupun pelaburan emas, setiap keputusan perlu dibuat dengan ilmu, semakan dan sikap berhati-hati.

Kami kongsikan artikel daripada Harian Metro bertarikh 20 Jun 2026 sebagai peringatan buat anda:

Hati-Hati! Ini Taktik Baru Scam Pelaburan Emas


Kuala Lumpur: Hasrat seorang ahli perniagaan wanita dari Medan, Indonesia menyertai pelaburan emas berkecai apabila dia bukan saja dipaksa membuat pinjaman along malah rumah miliknya turut ditukar hak milik tanpa kebenaran.

Lebih malang, akibat daripada masalah itu, dia kini ‘diarahkan’ menyewa rumah sendiri pada harga lebih RM30,000 sebulan menyebabkan dia buntu memikirkan masalah itu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ayu, 40-an berkata, suaminya membeli kondominium terbabit pada 2009 pada harga RM1.8 juta dan menjadikannya sebagai kediaman keluarga sejak lebih sedekad lalu.

Menurutnya, masalah itu bermula selepas suaminya diperkenalkan kepada satu skim pelaburan pada pertengahan 2025 yang menggunakan geran hartanah sebagai cagaran bagi mendapatkan pulangan pelaburan dalam tempoh tertentu, sebelum membabitkan beberapa pihak termasuk syarikat pelaburan dan pemberi pinjaman.

Katanya, suaminya bersetuju menyertai urusan berkenaan selepas diyakinkan bahawa pelaburan itu selamat dan mampu memberikan pulangan seperti dijanjikan.

“Geran asal rumah diserahkan untuk tujuan urusan itu yang dikatakan formaliti dan kami dimaklumkan semuanya akan berjalan mengikut perjanjian.

Ayu berkata, hasil semakan dilakukan kemudian mendapati hak milik hartanah berkenaan didakwa ditukar pada 21 Oktober tahun lalu kepada seorang individu dari Sarawak.

Menurutnya, mereka turut dimaklumkan bahawa hartanah itu dipercayai dijual pada harga RM800,000 walaupun nilai pasarannya kini dianggarkan sekitar RM4 juta.

“Kami tidak faham bagaimana sebuah rumah yang mempunyai nilai pasaran jutaan ringgit boleh bertukar tangan pada harga sedemikian.

“Suami saya juga tidak pernah bercadang untuk menjual rumah itu dengan harga sangat murah kerana ia adalah aset utama keluarga kami,” katanya.

Kata Ayu, keadaan menjadi lebih menghairankan apabila suaminya yang sebelum ini pemilik hartanah berkenaan didakwa perlu menjadi penyewa selepas pertukaran hak milik itu berlaku.

Katanya, mereka dimaklumkan kadar sewa yang dikenakan adalah sebanyak RM40,000 sebulan.

“Kes ini memberi kesan yang sangat besar kepada suami saya. Pada usia 75 tahun, dia mengalami kebimbangan dan tekanan emosi akibat kehilangan rumah yang dibeli hasil titik peluhnya sendiri sejak berhijrah ke Malaysia.

“Kami hanya mahu mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku dan berharap pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.

Ayu turut menzahirkan rasa terkilan dengan kejadian berkenaan dan tidak menyangka perkara seperti itu boleh berlaku di negara ini.

“Saya tidak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku di negara yang saya anggap aman seperti Malaysia,” katanya.

Katanya, keluarganya berharap siasatan pihak berkuasa dapat merungkai keseluruhan transaksi berkenaan serta menentukan sama ada wujud unsur penipuan atau penyelewengan dalam pemindahan hak milik hartanah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kes penipuan membabitkan pertukaran hak milik kondominium itu.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita sudah rakam percakapan pemilik baharu aset tersebut dan kes masih dalam siasatan,” katanya.


Wang yang hilang mungkin boleh dicari semula, tetapi masa, ketenangan jiwa dan kepercayaan yang musnah sukar untuk diganti. Sebab itu, jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu indah untuk dipercayai, sama ada dalam pelaburan emas, hartanah atau apa sahaja bentuk pelaburan. Jadikan kisah ini sebagai iktibar bahawa kekayaan sebenar bukan datang daripada jalan pintas, tetapi melalui perancangan kewangan yang bijak, ilmu yang betul dan kesabaran dalam membina masa depan yang lebih terjamin.

Sumber: Harian Metro via Emas2U


Dah ready nak simpan emas?

PM Cik Ida >>